arena

Biasakan cuaca sejuk di Gold Coast

Oleh Fadhli Ishak

MENJELANG Sukan Komanwel di Australia tahun depan, ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang membawa hampir keseluruhan penerjunnya untuk menyertai siri terakhir Grand Prix Terjun FINA di Gold Coast yang akan bermula Jumaat ini.

Zhuliang mengaku kejohanan itu bakal memainkan peranan penting dalam persediaan ke Sukan Komanwel yang juga akan diadakan di Pusat Akuatik Gold Coast nanti.

“Semua penerjun kecuali Wendy Ng dan Traisy Vivien Tukiet berada di sini. Traisy perlu meneruskan pengajian di universiti dan tidak dapat menyertainya,” kata Zhuliang yang tiba di Gold Coast bersama skuad terjun, hari ini.

“Saya rasa adalah sangat penting untuk semua penerjun mencuba kolam dan kemudahan di sini.

“Cuaca juga boleh menjadi sangat sejuk, jadi adalah bagus bagi mereka menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Lagipun, Sukan Komanwel adalah acara yang besar jadi kita perlu melakukan persediaan.”

Buat sementara ini, Wendy digantung selepas terbabit kes doping ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Zhuliang berkata, beliau akan cuba menyenaraikan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama campuran bergandingan dengan Jellson Jabilin.

Gandingan itu memenangi emas dalam acara berkenaan pada GP Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

Kebelakangan ini, Jun Hoong tidak disenaraikan untuk menyertai acara 10m platform individu berikutan kecederaan belakang yang menghantuinya sejak memenangi Kejohanan Dunia tahun ini.

Skuad terjun di GP Gold Coast:

Lelaki: Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Chew Yiwei, Jellson Jabillin, Syafiq Puteh.

Wanita: Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Jasmine Lai, Kimberly Bong.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 9:09pm
d