arena

Skuad negara berdepan laluan sukar di ARC

Oleh Fadhli Ishak

SKUAD bawah 19 tahun negara perlu berusaha keras pada kejohanan Divisyen Satu Ragbi Asia bawah 19 tahun (ARC) apabila format kejohanan berubah dengan menyaksikan mereka bakal berdepan beberapa pasukan besar.

Malaysia akan menentang Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Filipina selaku tuan rumah kejohanan Divisyen Satu di International School Manila pada 13-17 Disember ini.

Setiausaha Kesatuan Ragbi Malaysia, Jamaluddin Salim mengaku kesukaran yang bakal dihadapi pasukan negara tetapi yakin Malaysia mampu untuk kembali ke Divisyen Utama.

“Kami sebelum ini sangka yang kita akan berdepan Thailand dan Singapura pada Divisyen Satu tetapi perubahan format tahun ini menyaksikan Divisyen Utama menjadi lebih kecil,” kata Jamaluddin.

“(Divisyen Utama) kini dikurangkan dengan hanya dua pasukan yang akan bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan. Ada juga beberapa pasukan yang mengambil keputusan untuk menarik diri pada kejohanan kali ini yang membuatkan kita perlu bermain dengan pasukan Divisyen Satu.

“Semua pasukan di Divisyen Satu adalah kuat dan sukar untuk ditewaskan tetapi sasaran kita masih sama, iaitu untuk memenangi peringkat kumpulan dan dinaikkan divisyen.

“Kita mempunyai ramai pemain bagus yang terdiri daripada 45 pemain yang menjalani program latihan menyeluruh tahun ini. Mereka juga semakin matang daripada segi bilangan dengan beberapa orang daripada mereka sudah menyertai kejohanan ini tahun lalu.

“Apa yang kami perlu lakukan hanyalah memenangi dua perlawanan.”

Skuad negara akan menentang UAE pada 13 Disember sambil Korea Selatan bertemu Filipina.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 11:18pm
d