arena

Murray sedia korban Terbuka Australia

Oleh AFP

LONDON: Andy Murray membayangkan dia bersedia melepaskan Terbuka Australia tahun depan jika ia boleh menjejaskan proses pemulihan daripada kecederaan pinggulnya.

Bintang tenis Britain itu tidak beraksi dalam sebarang aksi kompetitif sejak bergelut pada suku akhir Wimbledon tahun ini, apabila tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey.

Murray, bagaimanapun masih memikirkan untuk kembali ke kejohanan Antarabangsa Brisbane, yang bermula 31 Disember dan menjadi acara pemanas badan Terbuka Australia, yang pertama daripada empat kejohanan tahunan utama.

Namun bercakap menjelang aksi pertunjukan menentang Roger Federer di Glasgow, pemain Scotland berusia 30 tahun tetap waspada terhadap misinya mencapai kecergasan 100 peratus.

“Anda tidak akan tahu, bila anda akan pulih daripada kecederaan tetapi yang pasti saya sedang berusaha ke arah itu,” kata Murray.

“Kita perlu menunggu tetapi saya percaya itulah keutamaannya. Saya akan kembali untuk bermain di gelanggang tahun depan, tetapi tidak semestinya awal tahun depan.

“Saya membuat pukulan dengan baik ketika latihan, namun ada perbezaan di antara memberikan 75-80 peratus ketika latihan dan beraksi 100 peratus sepanjang dua setengah jam atau tiga jam di gelanggang.

“Sehingga tempoh itu, saya tidak boleh pastikan, tetapi saya fikir semuanya akan pulih nanti.”

Murray dijangka ke Australia selepas memilih untuk berehat dan menjalani program pemulihan berbanding pembedahan.

“Ambil masa anda, berapa lama sekali pun,” kata Federer kepada Murray. “Apabila anda kembali anda mahu cergas 100 peratus, jika tidak anda tidak dapat menewaskan pemain terbaik pada kejohanan besar, jadi lebih bijak dan berbaloi berehat lebih seminggu, atau mungkin lebih sebulan.”

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 9:27am
d