arena

Pertahanan City antara yang terbaik

Oleh Reuters

LONDON: Ketika Manchester City terus mencetak jaringan demi jaringan serta menampilkan aksi menyerang yang menakjubkan, ramai yang tidak mengendahkan sumbangan dilakukan tiga pertahanan mereka.

Fernandinho, John Stones dan Nicolas Otamendi mungkin tidak mendapat liputan meluas ketika pasukan mereka meledak 52 gol dalam semua kejohanan yang membariskan pengatur serangan yang licik seperti Kevin De Bruyne dan David Silva yang menyokong kehebatan penyerang berbisa seperti Sergio Aguero dan Gabriel Jesus.

Namun statistik membayangkan mereka berhak menjadi tiga pemain paling penting dalam skuad Pep Guardiola, susulan aksi tanpa kalah sepanjang musim ini yang meletakkan City lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Rekod mereka yang bolos hanya 11 gol dalam 17 perlawanan semua kejohanan musim ini cukup menakjubkan, namun perkara itu pasti diperdebatkan apabila membandingkan sumbangan mereka berbanding dominasi penguasaan bola dan serangan City.

Sebagai contoh bek tengah Argentina Otamendi, lebih banyak menyentuh bola dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara berbanding pemain City yang lain musim ini, sementara bek tengah England Stones di tempat kedua dan pemain tengah Brazil Fernandinho di belakang De Bruyne.

Begitu juga dari aspek hantaran. Otamendi sekali lagi teratas dalam percubaan hantaran, mengatasi Fernandinho di tempat kedua manakala Stones ketiga.

Manakala bagi penyempurnaan hantaran, Stones pula berada di depan berbanding Otamendi (kedua) dan Fernandinho (keempat), ketiga-tiganya merekodkan lebih 90 peratus.

Semua itu membayangkan ketiga-tiga mereka menyatukan kuasa serangan dan menjadi nadi kepada jaringan yang disempurnakan Aguero dan pemain lain.

Ini bukan bermakna mereka tidak menjaringkan gol. Stones dan Otamendi masing-masing menjaringkan tiga gol musim ini manakala Fernandinho meledak dua gol.

Maka tidak hairan jika Guardiola menjadi yang pertama menyedari kepentingan trio berkenaan: “Saya fikir Fernandinho adalah antara tiga pemain bertahan terbaik dunia. Seperti juga John (Stones) dan Nico (Otamendi), Fernandinho mencapai tahap yang lain dengan mentaliti dan sikap positif dimiliki. Dia banyak menyumbang kepada pasukan, baik ketika menyentuh bola atau tidak.”

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 12:18pm
d