arena

Ekspedisi kayak selami budaya Mesir

Oleh Haika Khazi

TUJUH wakil Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) sebentar tadi berlepas ke Mesir bagi menyertai Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 sejauh 250 kilometer (km) dari Aswan ke Luxor, mulai 8 hingga 19 November ini.

Ketua ekspedisi, Mohd Haniff Muhamad Zain berkata, ekspedisi yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Record (MBR) itu juga antara lain membolehkan semua peserta menyelami sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat di Mesir selain menguji tahap ketahanan fizikal, mental dan semangat juang mereka.

Justeru, Mohd Hanif dan enam peserta lain termasuk wakil TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Rosliza Saad, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Izwan Md Sumairi, Shamsudduha Junaidi dan Ahmad Iqbal Khairi Ismail sudah menjalani latihan selama lebih empat bulan sebagai persediaan menyertai ekspedisi berkenaan.

“Kami bukan hanya perlu membuat latihan dan persediaan menghadapi cabaran di air dan di darat namun apa lebih penting mempunyai kekuatan mental dan semangat berpasukan.

“Kami juga perlu mempelajari teknik ikhtiar hidup termasuk berpaut pada kayak dan dayung bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini, selain wajib sedia menghadapi cabaran dihidrasi berikutan cuaca panas dan kering di padang pasir sepanjang ekspedisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelepasan peserta ekspedisi disempurnakan Timbalan Presiden, Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan turut disaksikan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof@Mokhles di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebentar tadi.

Sungai Nil antara sungai terpanjang di dunia yang mengalir sejauh 6,650km dan merentasi lebih sembilan negara iaitu Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan, dan Mesir.

Mengulas lanjut, Mohd Hanif berkata semua peserta juga mungkin terpaksa menggunakan sumber air bersih secara berhemah kerana bekalannya amat terhad biarpun mereka berkayak di Sungai Nil.

“Cabaran paling hebat bakal kami tempuhi adalah cuaca ekstrem. Jika di Malaysia kita biasa dengan cuaca panas dan lembap tetapi di sana cuaca panas dan kering pada siang hari manakala malam terlalu sejuk.

“Biarpun bakal berhadapan dengan masalah dihidrasi dan pitam akibat kekurangan bekalan air dalam badan, namun Insya-Allah berbekalkan semangat kental kami akan berjaya nanti” katanya

Dalam pada itu Norza ketika ditemui berkata, beliau mendoakan wakil MRM berkenaan boleh mencatat sejarah menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia berjaya menyempurnakan misi menjelajah Sungai Nil sejauh 250km.

“Ini adalah satu ekspedisi amat mencabar dan boleh dijadikan contoh kepada anak muda Malaysia supaya mereka mempunyai semangat juang yang kental untuk menghadapi cabaran ekstrem dan sukar seperti menakluki Sungai Nil berkenaan.

“Sebagai Timbalan Presiden MOM saya memang menggalakkan anak muda melakukan ekspedisi sedemikian yang mencabar ketahanan fizikal dan mental mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 3:54pm
d