arena

Khairul idam pingat terakhir antarabangsa

Oleh Azlan Muhammad Zain

PEMANAH recurve Khairul Anuar Mohamad berharap penampilan terakhir skuad memanah negara di pentas antarabangsa mampu menghasilkan pingat.

Pemanah kelahiran Terengganu berkenaan akan bergandingan bersama Haziq Kamaruddin, Mohd Nor Akmal Hasrin dan Mohd Ikram Joni menyertai Kejohanan Memanah Asia di Dhaka, Bangladesh penghujung bulan ini.

“Ia kejohanan terakhir kami tahun ini. Setiap kali kejohanan pasti kami mahukan pingat terutamanya acara berpasukan.

“Namun harus diingat kejohanan peringkat Asia kebiasaannya menampilkan juara dunia dan Olimpik dari Korea Selatan,” jelas pemanah utama negara itu.

Bagaimanapun dia yang baru kembali daripada Kejohanan Memanah Dunia, Mexico penghujung bulan lalu, menjelaskan terdapat peningkatan dan keyakinan yang dipamerkan pada saingan peringkat tertinggi itu.

“Saya berharap rentak yang dipamerkan di Mexico mampu diteruskan. Contohnya walaupun kami tewas kepada Korea Selatan tetapi hanya dibezakan satu mata pada setiap set,”kata pemenang emas acara berpasukan Sukan SEA itu.

Malaysia dilihat semakin merapatkan jurang dengan gergasi dunia berkenaan walaupun tewas 1-5 kepada Korea Selatan di suku akhir apabila kecundang 53-52 (set pertama) dan 57-56 (set kedua) selain terikat seri dengan 55-55 pada set ketiga.

Pencapaian terbaik Khairul pada Kejohanan Memanah Asia adalah memenangi dua emas pada edisi 2011 di Iran menerusi acara individu dan berpasukan bergandingan bersama Haziq dan Cheng Chu Sian.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 6:06pm
d