arena

Kekangan bajet hantui SRAM

Oleh Devinder Singh

KEKANGAN peruntukan perbelanjaan memaksa Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memikirkan semula perancangan menghantar pemain kebangsaan untuk ke luar negara pada kejohanan akan datang.

Selepas berakhirnya program Kita Juara bagi persediaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) memotong peruntukan bagi SRAM sehingga program sukan baru dilancarkan.

Kemungkinan yang bakal menerima tempiasnya adalah bagi penyertaan sembilan pemain negara di Terbuka Australia di Darwin pada minggu depan sementara perancangan untuk menyertai kejohanan di Qatar, Hong Kong dan Pakistan juga masih diragui.

“Selepas Sukan SEA, peruntukan daripada MSN memasuki tempoh ‘cooling-off’, sekurang-kurangnya sehingga program akan datang dilancarkan,” kata pengarah kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam.

“Kami masih cuba mendapatkan peruntukan untuk menghantar pemain ke Terbuka Australia. Mereka memasuki kejohanan itu sendiri kerana ia adalah kejohanan yang bagus untuk memperoleh pendedahan dan mata ranking.

“Mereka memilih kejohanan yang mereka mahukan dan kami berikan kebenaran.”

Juara kategori wanita Terbuka Malaysia, S Sivasangari diletakkan sebagai pemain pilihan kedua di Terbuka Australia yang akan bermula Selasa sementara Ng Eain Yow, Addeen Idrakie Bahtiar, Sanjay Singh, Ong Sai Hung, Syafiq Kamal, Bryan Lim, Ryan Pasqual dan Darren Rahul Pragasam akan menyertai kategori lelaki.

Tetapi pemain mungkin perlu memikir semula untuk menyertai kejohanan akan datang dengan kini peruntukan sukar diperoleh.

“MSN masih belum boleh memutuskan berapa lama perkara ini akan berlanjutan dan tidak memberikan saya jawapan yang konkrit,” kata Maniam. “Mereka juga menantikan peruntukan daripada pihak berkuasa. Tiada siapa yang pasti tentang apa yang berlaku.”

SRAM bernasib baik apabila pernyertaan atlet skuasy negara di Kejohanan Dunia dan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia dibiayai oleh Program Podium.

Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen, Eain Yow dan Syafiq disenaraikan bagi acara berpasukan di Perancis pada 27 November-3 Disember sementara empat pemain itu akan menyertai pemain nombor enam dunia, Nicol David menyertai Kejohanan Dunia di Manchester pada 8-17 Disember.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 9:05pm
d