arena

Kuzain julang kejuaraan USL

Oleh Firdaus Hashim

WAN Kuzain Wan Kamal mencipta sejarah tersendiri apabila muncul anak Malaysia pertama menjulang kejuaraan USL Western Conference bersama Swope Park Rangers selepas membenam OKC Energy menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selama 120 minit dalam aksi final Sabtu lalu.

Sejak menyertai kelab itu pada pertengahan musim ini, Kuzain atau lebih dikenali dengan gelaran Messi Amerika adalah watak penting dan tulang belakang kepada kebangkitan pasukan itu.

Hasil kemenangan ke atas seteru utama dari saingan Western Conference itu, pemain berdarah Malaysia yang kini menetap di Amerika Syarikat itu akan memimpin pasukannya beraksi dalam pentas final Piala USL 2017 berdepan satu lagi juara Eastern Conference iaitu Louisville City FC pada 13 November ini, di Kentucky, Amerika Syarikat.

Terdahulu, Louisville City FC berjaya menumbangkan juara bertahan Piala USL, New York Red Bulls II menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar dan tambahan masa.

Menerusi akaun facebook milik ayahnya, Wan Kamal, menyaksikan peminat bola sepak tempatan terkejut dengan pencapaian cemerlang anaknya itu apabila ruang komen dilimpahi ratusan ucapan tahniah dan doa.

“Terima kasih atas sokongan kepada Kuzain. InsyaAllah, pada Disember ini dia akan pulang ke Malaysia bersama abangnya,” kata Wan Kamal kepada peminat anaknya itu.

Aksi Kuzain sering mendapat pujian jurulatihnya, Nikola Popovic yang mengakui kagum dengan kebolehan pemain berusia 19 tahun itu.

Malah, dalam aksi pertamanya ketika menewaskan OKC Energy 3-1 dalam saingan liga tujuh bulan lalu, dia merekodkan ketepatan hantaran paling tinggi dengan 96% sekali gus menguasai bahagian tengah.

Menerusi perkembangan terbaru itu, mungkinkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mula mengorak langkah memujuk Kuzain untuk pulang sekali gus menguatkan barisan skuad Harimau Malaya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 9:54pm
d