arena

Siapa pula kantoi doping ni...

Oleh Jumiati Rosly

SELEPAS dua atlet sukan terjun dan angkat berat didapati positif ujian doping, tiba giliran atlet Muay Thai negara pula yang dikesan terbabit masalah sama apabila diuji positif bahan terlarang Diuretics pada Julai lalu.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menjelaskan masalah berkenaan membabitkan salah seorang atlet Muay Thai berpengalaman negara.

“Buat masa ini kita belum boleh mengumumkan siapakah atlet itu kerana masih menunggu keputusan ujian Sampel B.

“Atlet terbabit bagaimanapun tidak beraksi di Sukan SEA (Ogos lalu) biarpun pada mulanya tersenarai ke temasya itu. Dia didapati positif ketika pra-kejohanan Sukan SEA sekitar Julai lalu dan terus digugurkan untuk digantikan dengan atlet lain,” katanya.

Muhammad Shahnaz berkata, atlet terbabit sudah dipanggil dalam satu sesi pendengaran dalaman yang dilakukan persatuan sejurus selepas keputusan diperoleh.

“Atlet terbabit mengaku ada mengambil ubat kuat untuk lelaki yang dibeli secara dalam talian. Kita dapati sikap tidak ambil tahu atlet terbabit yang menyebabkan dia positif doping.

“Kalau ikutkan ubat itu juga boleh jadi ubat kurus namun saya tidak rasa atlet itu perlukan ubat sedemikian kerana dia mempunyai berat yang bersesuaian apa lagi dia sudah bertarung dalam 300 perlawanan,” katanya.

Katanya, atlet dari Kelantan itu adalah seorang yang terkemuka dan buat masa ini digantung sementara sehinggalah keputusan akhir dilakukan selepas Sampel B dibuka di makmal ujian doping di New Delhi, India bulan ini.

“Sukan Muay Thai diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), jadi kita memang sangat bertegas memastikan siapa juga atlet yang didapati bersalah dalam kes doping akan menerima hukuman. Menurut Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), hukuman dua hingga empat tahun bakal dikenakan bergantung pada bahan terlarang yang diambil,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 10:34pm
d