arena

'Super sub' pun 'super sub' lah..

Oleh Zulfaizan Mansor

PEMAIN sayap negara, Hadin Azman mengaku dia berdepan tugas berat untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Jumaat ini.

Malah, pemain FELDA United itu menjelaskan dia tidak kisah sekiranya tidak menjadi pilihan utama jurulatih, Nelo Vingada dan sedia menjadi pemain ‘super sub’ untuk membantu skuad negara memburu dua kemenangan penting.

“Persaingan di posisi tengah memang sengit dengan hanya pemain terbaik akan disenaraikan. Saya perlu bersaing dengan beberapa pemain termasuk Safawi Rasid dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Namun, terpulang kepada jurulatih yang membuat penilaian siapa yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama nanti.

“Bagi saya, ia bukan masalah kerana siapa saja yang diturunkan pasti akan beraksi bersungguh-sungguh untuk menyumbang kejayaan kepada pasukan negara,” katanya.

Hadin dipanggil pada saat akhir oleh Vingada bagi menggantikan Baddrol Bakhtiar yang mengalami kecederaan dan ini adalah kali pertama dia menyarung jersi Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih kelahiran Portugal itu.

Selain aksi pada Jumaat ini, skuad Harimau Malaya juga akan berdepan Korea Utara pada perlawanan kedua di stadium sama pada Isnin dengan harapan untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir saingan tertinggi Asia itu.

Mengulas mengenai peluang Malaysia, Hadin menjelaskan tiada misi yang mustahil untuk Harimau Malaya meraih kemenangan sekiranya semua pemain mempamerkan persembahan terbaik.

“Korea Utara ada kekuatan dan kelemahan mereka, begitu juga Malaysia. Jadi, bagi saya peluang untuk kedua-dua pasukan adalah seimbang.

“Kami hanya perlu fokus dan tampil dengan aksi lebih 100 peratus sekiranya mahu mendapatkan mata penuh dalam dua aksi itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 10:48pm
d