arena

Hafifi harap keajaiban

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN sedar peluangnya hanya 0.01 peratus, atlet angkat berat, Hafifi Mansor tetap menyimpan hasrat untuk melihat keajaiban berlaku kepada sampel B ujian air kencingnya.

Hafifi yang ditemui selepas pulang dari Sydney untuk melihat proses ujian berkenaan dilakukan, tetap optimis agar nasib memihak kepadanya.

Atlet kelahiran Terengganu itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri hampir RM10,000 semata-mata untuk melihat sendiri proses ujian terhadap sampel B miliknya kerana yakin bahawa dia tidak mengambil barang terlarang yang dimaksudkan.

“Saya tahu saya tidak mengambilnya. Itu sebab saya mahu menyaksikan sendiri bagaimana ujian dilakukan. Malah ubat itu digunakan untuk atlet bina badan dan bukan angkat berat seperti saya.

“Cubalah fikir jika saya memang makan bahan itu saya tidak perlu buang masa untuk melihat ujian B.

“Saya berasa seperti ada orang yang jatuhkan saya dan saya perlu berdepan semua ini. Kita tunggu saja keputusannya nanti,” katanya.

Pemenang pingat emas temasya Komanwel Glasgow itu didapati positif menggunakan bahan terlarang oxymetholone, sejenis ejen steroid ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Hafifi berkata, dia berpuashati dengan proses yang dilakukan di makmal ujian dengan keputusan dijangka diperoleh sama ada Isnin atau Selasa depan.

Mengaku dia berdepan detik sukar ketika diumumkan positif, Hafifi berharap Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dapat membantunya meringankan hukuman andai keputusan yang diterima itu nanti turut positif.

Untuk rekod, bekas pemain badminton negara, Sairul Amar Ayob pernah terlepas daripada hukuman pada 2006 apabila ujian sampel B miliknya didapati negatif.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:06pm
d