arena

Syafiq azam bukti kemampuan

Oleh Zulfaizan Mansor

PENYERANG Kedah, Syafiq Ahmad tekad membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa jurulatih Nelo Vingada tidak melakukan kesilapan memanggilnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama.

Justeru, pemain muda berusia 22 tahun itu sedia menyumbang sesuatu sekiranya diturunkan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand Jumaat dan Isnin ini.

“Ini kali pertama dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik buat pasukan.

“Saya mahu tunjukkan yang saya memang layak dipanggil dan membuktikan kepada seluruh Malaysia kemampuan yang ada,”

katanya yang kini dipalit spekulasi penghijrahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT), musim depan.

Vingada hanya membawa dua penyerang ke Buriram termasuk Syafiq dan Ahmad Hazwan Bakri untuk mengharungi dua aksi berdepan Korea Utara yang menjadi perlawanan hidup mati Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Malah, Syafiq mengakui tugas berat terpaksa dipikul bersama Hazwan berbanding pemain lain kerana mereka menjadi harapan untuk meledak jaringan bagi memastikan kemenangan memihak Harimau Malaya.

“Kami sedar hanya dua penyerang berada dalam skuad kali ini dan jika salah seorang diturunkan, ia pasti satu tugas yang berat.

“Kami perlukan jaringan kerana hanya dengan jaringan kami boleh menang. Jadi, saya dan Hazwan boleh dikatakan berdepan tugas tambahan berbanding pemain lain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kekuatan dan kelemahan Korea Utara, Syafiq mengakui dia tidak mengetahui corak permainan pasukan lawan itu.

“Saya tidak tahu apa yang ada dengan pasukan Korea Utara. Saya tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah memberi fokus kepada membentuk kekuatan dalam pasukan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:38pm
d