arena

Terengganu, Melaka isi slot separuh akhir

Oleh Azizan Hashim

JUARA bertahan, Terengganu dan Melaka mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Razak Edisi ke-55 selepas menunduk lawan masing-masing di Stadium Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.

Terengganu menewaskan Kuala Lumpur 3-2 sementara Melaka mengecewakan Pulau Pinang 2-1, membolehkan pasukan dari pantai timur itu muncul juara Kumpulan A dengan tujuh mata manakala Melaka mengumpul empat mata.

Pada perlawanan sebentar tadi, jaringan saat akhir perlawanan oleh Muhammad Sufi Ismat membolehkan anak buah Sarjit Singh mengutip mata penuh biarpun beraksi di bawah tahap sebenar.

Kuala Lumpur sebaliknya bermain cemerlang hingga berjaya mendahului lawan 2-0 pada suku pertama tetapi melakukan kesilapan untuk membolehkan Terengganu bangkit.

Muhammad Shahril Saabah membuka jaringan untuk Kuala Lumpur mendahului pada minit kesembilan dan enam minit kemudian Muhammad Amirol Aideed melebarkan kedudukan buat skuad bimbingan I Vigneswaran menerusi jaringan padang.

Tersentak dengan itu, Terengganu mengatur serangan dan Faizal Shaari meledak gol hasil hantaran sudut penalti pada minit ke-20.

Terengganu meneruskan tekanan pada suku ketiga dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fitri Saari selepas Faizal dikasari oleh penjaga gol lawan, Adrian Andy Albert pada minit ke-41.

Ketika perlawanan tampak akan seri, Terengganu menghukum kesilapan benteng warga kota dengan jaringan Sufi.

Sementara itu Melaka bangkit dengan menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk meranapkan impian Pulau Pinang.

Pulau Pinang mendahului pada minit ke-19 menerusi penalti Jiwa Mohan, Ismail Abu bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-33 sebelum Muhammad Alif Akmal Salim melengkapkan kemenangan pada minit ke-52.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:44pm
d