arena

Peluang buat pemain muda England, Jerman

Oleh AFP

LONDON: Pertembungan England dengan Jerman dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley awal pagi Sabtu ini dilihat peluang terbaik buat tonggak muda untuk cuba merebut tempat dalam senarai yang akan dibawa ke kempen Piala Dunia tahun depan.

Kedua-dua pasukan dihimpit masalah kecederaan dan menyaksikan banyak pemain bintang terpaksa diketepikan.

Harry Kane, Dele Alli dan Raheem Sterling antara pemain England sah tersisih manakala Jerman akan ke Wembley tanpa Manuel Neuer, Jerome Boateng dan Thomas Mueller.

“Saya tidak pernah beraksi di sana,” kata pertahanan Jerman, Niklas Suele, 22, yang dijangka akan bergandingan dengan rakan sepasukannya di Bayern Munich, Mats Hummels di posisi bek tengah.

“Ia salah satu stadium terbesar dan terbaik di dunia. Ia pasti satu penghargaan buat saya dapat beraksi di sana.”

Pemain tengah, Ilkay Gundogan dan Mario Goetze yang baru pulih dari kecederaan berharap dapat membuktikan diri mereka layak berada dalam senarai skuad Piala Dunia Jerman selepas kali terakhir beraksi dalam skuad Joachim Loew pada November lalu.

Apa pun, pengendali England, Gareth Southgate berhasrat memanfaatkan aksi dengan Jerman dan Brazil sebagai medan menguji kemampuan pasukan sebelum ke Russia tahun depan.

“Kita mengharungi fasa yang membolehkan kita melihat apa jua kemungkinan. Bagaimana kita dapat tingkatkan kemampuan pasukan dan bagaimana kita dapat teruskannya,” katanya menjelang pertembungan itu.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 1:35pm
d