arena

Hafizul tak rela gawang bocor

Oleh Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram

PENJAGA gol negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bersedia untuk menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, di sini, malam esok.

Sedar kemungkinan penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) Izham Tarmizi Roslan akan menjadi pilihan utama jurulatih Nelo Vingada, Hafizul bagaimanapun menegaskan dia tidak kisah siapa yang akan diturunkan pada perlawanan penting itu nanti.

“Saya sentiasa bersedia sekiranya menjadi pilihan jurulatih. Namun, kali ini persaingan di posisi itu memang sengit dengan adanya Izham dan Khairul Azhan Khalid.

“Apapun, itu semua tidak penting kerana saya tahu siapa saja yang bakal diturunkan nanti pasti akan beraksi pada tahap terbaik untuk membantu negara,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium I-Mobile, hari ini.

Hafizul dilihat menjadi pilihan utama Vingada dalam dua aksi berdepan Hong Kong sebelum ini, namun ketika itu Izham tidak berada dalam skuad Harimau Malaya.

Mengulas mengenai peluang Harimau Malaya untuk menewaskan Korea Utara, Hafizul menjelaskan peluang seimbang dimiliki kedua-dua pasukan.

“Pemilihan stadium ini adil buat kedua-dua pasukan kerana stadium ini antara yang terbaik di Thailand.

“Malah, persiapan singkat Harimau Malaya bukan alasan untuk kami tidak memberi aksi terbaik. Kami akan bermain mati-matian untuk memperoleh kemenangan,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 8:10pm
d