arena

Alonso iktiraf kehebatan Hamilton

SAO PAULO: Fernando Alonso menyertai Felipe Massa yang mengiktiraf pemandu Mercedes, Lewis Hamilton sebagai salah seorang pelumba terhebat dalam saingan Formula Satu selepas kejayaannya memastikan kejuaraan dunia buat kali keempatnya musim ini.

Alonso yang juga juara dunia dua kali pernah bergandingan bersama Hamilton ketika kedua-duanya mewakili McLaren pada 2007.

“Lewis salah seorang pemandu terhebat dalam sukan ini dan dia membuktikannya terutamanya ketika bersama McLaren. Sebagai contoh, pada 2009, jentera tidak begitu bagus namun dia masih mampu memenangi perlumbaan.

“Prestasi seperti itu meletakkan dirinya pada tahap tertinggi. Dalam perebutan kejuaraan sebelum ini, jentera Mercedes mendominasi saingan dan ia menjadikannya lebih mudah.

“Tetapi dia memang berhak untuk meraih kekayaan sekarang kerana sudah banyak kali dia membuktikan bakat yang ada pada dirinya. Ketika dia bersaing dengan Nico Rosberg, dia berjaya muncul juara dan dia memang berhak.

“Sudah pasti seseorang pelumba memerlukan jentera yang bagus namun saya fikir Lewis lebih berhak dengan apa yang dicapainya.

“Dia membuktikan dirinya layak untuk capai kejayaan, ketika kemenangan hadir semasa dia tidak memiliki jentera yang bagus,” katanya.

Massa sebelum itu berkata Hamilton layak untuk berada sebaris dengan juara terdahulu seperti Ayrton Senna dan Michael Schumacher.

“Hamilton tiada beza dengan Senna, Schumacher atau pun mana-mana nama lain dalam sejarah sukan permotoran dunia. Sudah pasti dia salah seorang pemandu terbaik dalam sejarah Formula Satu.” - AFP

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 9:58am
d