arena

Fifa hidupkan semula bola Telstar

Oleh Reuters

ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam mengumumkan untuk ‘menghidupkan’ semula bola Telstar, iaitu ciptaan pertama untuk kegunaan Piala Dunia 1970 pada temasya di Russia tahun depan.

FIFA menyifatkan bola Telstar 18, yang dibuat oleh Adidas iaitu pembekal bola sejak temasya 1970, sebagai ‘satu model ciptaan klasik dengan rekaan panel baharu menggunakan teknologi terkini’.

FIFA berharap bola berkenaan akan lebih popular berbanding siri terdahulu.

Beberapa pemain sebelum ini mengadu bola Teamgeist yang digunakan pada temasya 2006 sangat ringan dan mengalami perubahan ketara apabila digunakan ketika hujan.

Mutu bola Piala Dunia terus mendapat kritikan apabila penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas pernah mengganggap bola Jabulani yang digunakan pada temasya 2010 sebagai bola sepak pantai manakala Julio Cesar menggelarnya bola murah di pasaraya tetapi bola Brazuca yang digunakan pada 2014 terbukti lebih popular.

Rekaan asal pada bola Telstar menyaksikan 32 panel pentagonal, dengan 12 daripadanya berwarna hitam dan putih supaya ia mudah dilihat untuk siaran televisyen hitam putih pada era 70an.

Antara bola yang pernah dihasilkan untuk Piala Dunia ialah Tango (1978), Tango Espana (1982), Azteca (1986), Etrusco (1990), Questra (1994), Tricolore (1998) dan Fevernova (2002).

Bola Telstar 18 membangkitkan banyak memori yang tidak boleh dilupakan pada Piala Dunia 1970 FIFA - dengan penampilan legenda seperti Pele, Gerd Mueller, Giacinto Facchetti, Pedro Rocha dan Bobby Moore.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 12:59pm
d