arena

Syamim belum pilih pasukan

Oleh Rodly Fadly

AHMAD Syamim Yahya tampil mendedahkan belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan sekalipun spekulasi menyebut dia telah bersetuju menyertai Perak pada musim depan.

Sebaliknya, bekas penjana barisan tengah Pahang musim ini sedang menimbang tawaran lima pasukan selepas mengambil keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah selepas hanya semusim bersama mereka.

Syamim, 25, berkata, dia akan membuat keputusan selewat-lewatnya hujung bulan ini dengan beberapa faktor menjadi perkiraan.

“Semua pasukan yang berminat terhadap saya beraksi dalam Liga Super. Saya boleh katakan tawaran yang diberikan juga menarik menyebabkan sukar untuk membuat keputusan segera.

“Tapi, saya tidak akan membiarkan mereka menunggu terlalu lama kerana faham semua pasukan mahu membuat persiapan awal.

Oleh itu, saya akan buat keputusan dalam bulan November ini juga,” katanya.

Menurut Syamim, antara faktor yang perlu diambil kira adalah dia ingin berada dekat dengan keluarga di Raub kerana ibunya kini tinggal berseorangan.

Syamim berkata sebagai anak bongsu yang belum berkahwin, dia berasa menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga ibunya.

Walaupun enggan mendedahkan lima pasukan itu namun sumber memberitahu, selain Perak, FELDA United, Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka turut bersaing untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kelahiran Raub, Pahang itu.

Sebelum menyertai Pahang musim lalu, Syamim mencipta nama bersama FELDA sejak 2014 yang pernah dipimpin oleh Irfan Bakti Abu Salim.

Jika bersetuju menyertai Terengganu, ini bermakna Syamim akan kembali berganding dengan Irfan yang kini membimbing skuad Penyu itu.

Sementara itu, Syamim menafikan bahawa dia digugurkan oleh Pahang seperti diumumkan kelmarin. Sebaliknya, dia sendiri minta dikecualikan dari senarai pemain skuad berkenaan bagi musim 2018.

“Sebenarnya, Pahang ada membuat tawaran untuk saya menyambung kontrak tapi saya mengambil keputusan untuk menolak. Jadi, tidak timbul isu saya digugurkan.

“Saya berterima kasih kepada Pahang kerana memberi saya peluang menyarung jersi mereka. Walaupun tidak memenangi sebarang piala namun ia satu pengalaman berharga terutama mewakili negeri kelahiran saya sendiri,” kata Syamim.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 3:53pm
d