arena

Azizul sedia gegar Manchester

Oleh Azlan Muhammad Zain

AZIZULHASNI Awang mengesahkan akan terus beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di siri kedua Piala Dunia yang berlangsung di Manchester walaupun masih belum pulih sepenuhnya susulan terseliuh buku lali kiri minggu lalu.

The Pocket Rocketman menjelaskan dia sudah menjalani dua sesi latihan dan ia berjalan lancar bagi menghadapi saingan untuk acaranya esok.

“Saya akan meneruskan perjuangan dengan menyertai dua acara seperti yang dijadualkan walaupun buku lali kiri masih sakit selepas menjalani dua sesi latihan.

“Bagi melakukan kayuhan ketika latihan, saya perlu membalut bahagian buku lali itu. Pada masa sama, saya melakukan rawatan ais dan urutan bagi mempercepatkan proses pemulihan. Saya berharap semua dapat mendoakan saya,” tambahnya.

Pelumba CIMB Pro Cycling itu terseliuh buku lali kiri selepas berlanggar dengan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe dalam acara keirin pada siri pertama Piala Dunia di Poland minggu lalu.

Sementara itu rakan sepasukannya di CIMB Pro Cycling Team, Fatehah Mustapa menaruh harapan mempamerkan prestasi lebih baik di Manchester selepas kurang menyerlah di Poland.

“Latihan berjalan dengan lancar dan saya berharap mampu melangkah ke final kali ini selepas gagal melangkah ke pusingan kedua pada siri pertama tempoh hari,” tambahnya.

Turut menggalas cabaran negara di Manchester adalah tiga pelumba Sime Darby Foundation – Shah Firdaus Sahrom, Mohd Fadhil Zonis dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 8:13pm
d