arena

Adam temui rentak semula

Oleh Sukhairi Thani

HARI pertama pusingan kemuncak musim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Valencia berlangsung positif buat pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin.

Pada sesi latihan bebas hari ini, pelumba SIC Racing Team itu merakam catatan masa sepusingan terbaik di sesi kedua, 1 minit 40.316 saat berbanding 1’41.018s di sesi pertama untuk berada di kedudukan ke-15 terbaik.

Pencapaiannya itu sekali gus memperbaiki rekod catatan sepusingan pada sesi latihan bebas hari pertama di Circuit Ricardo Tormo musim lalu di mana dia mencatat 1’40.672s.

“Jujurnya, ia hari yang bagus,” kata Adam. “Kebiasaannya Valencia bukanlah litar kegemaran saya dan saya tidak merasa selesa di sini.

“Namun tahun ini motosikal jelas lebih baik berbanding tahun lalu, jadi saya lebih selesa pada kali ini.

“Pada sesi latihan bebas kedua, saya mencatat masa sepusingan yang terbaik di sini sekiranya dibandingkan dengan tahun lalu. Saya gembira dengan keadaan motosikal dan berharap dapat melakukan yang lebih baik di Valencia, tahun ini.

Pada musim pertamanya tahun lalu, Adam menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27 selepas memulakan saingan dari petak ke-30.

“Sesi kelayakan akan menjadi lebih sengit kerana di Valencia, jurang catatan masa sepusingan dengan kelompok depan tidak begitu jauh disebabkan trek ini tidak terlalu besar.

“Jadi, sudah pasti saingan akan menjadi sengit dan saya perlu berjuang untuk mengikut rentak pelumba lain. Bagi saya, pasukan sudah melakukan tugas yang baik untuk hari pertama ini,” kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Setakat 17 pusingan, Adam kini mengumpul 42 mata untuk berada di kedudukan ke-17 keseluruhan.

Di GP Malaysia dua minggu lalu, Adam menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 10:56pm
d