arena

Skuad sepak takraw berhak kekal di bawah program elit

Oleh Haika Khazi

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) enggan melayan pandangan sinis sesetengah pihak berhubung tindakan Institut Sukan Negara (ISN) terus mengekalkan acara sepak takraw dalam Program Podium.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail (gambar) menegaskan skuad sepak takraw negara berhak kekal di bawah program elit itu kerana mereka sudah membuktikan keupayaan dengan memenangi dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Ahmad berkata, fokus utama PSM sekarang adalah untuk memastikan Malaysia mampu meraih pingat emas pada Sukan Asia Indonesia 2018.

“Saya minta semua pihak supaya tidak membesarkan isu pengekalan sukan sepak takraw dalam Program Podium kerana fokus utama kami adalah meraih emas di Sukan Asia 2018.

“Malah, sepak takraw juga berjaya mencapai indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan ISN dengan menghadiahkan dua emas kepada kontinjen negara di Sukan SEA lalu,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kontroversi ISN mengekalkan sepak takraw sebagai salah satu acara tersenarai di bawah Program Podium 2018 biarpun atletnya kurang menyerlah di peringkat antarabangsa, sebelum ini.

Pada temasya KL2017 lalu, skuad sepak takraw Malaysia meraih dua pingat emas menerusi acara chinlone dan beregu yang tidak disertai Thailand dan Myanmar.

Bagaimanapun Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi kelmarin mempertahankan tindakan ISN mengekalkan 12 atlet sukan sepak takraw di bawah Program Podium biarpun mereka dikatakan kurang menyerlah sejak kebelakangan ini.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 5:20am
d