arena

Maghribi, Tunisia ke Piala Dunia 2018

Oleh AFP

JOHANNESBURG: Pasukan dari Afrika Utara, Maghribi dan Tunisia mengambil laluan berbeza untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Maghribi menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit, menerusi Nabil Dirar dan Medhi Benatia pada awal permainan babak pertama untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Ivory Coast, sekali gus menjuarai Kumpulan C.

Pasukan yang digelar “Atlas Lions” itu kembali beraksi di kejohanan terbesar buat kali pertama sejak 1998 dengan menamatkan kempen kelayakan menerusi pungutan 12 mata dan hanya dibolosi satu gol dalam enam perlawanan.

Ivory Coast yang gagal bangkit selepas dikejutkan dengan dua jaringan awal itu menduduki tangga kedua apabila mengumpul lapan mata, diikuti Gabon enam mata dan Mali empat mata.

Sementara itu, Tunisia gagal menembusi pertahanan kental Libya di Rades dan hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 namun sudah cukup untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Republik Demokratik Congo pula menduduki tangga kedua, satu mata di belakang Tunisia selepas menghasilkan dua gol pada masa kecederaan untuk mengalahkan Guinea 3-1 di Kinshasa.

Tunisia yang kekal dengan rekod tanpa kalah, mengumpul 14 mata untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006 diikuti Congo 13 mata, Libya empat mata dan Guinea tiga mata.

Senegal juga mengesahkan tempat ke Russia semalam dengan menewaskan Afrika Selatan 2-0 dan dua lagi pasukan kelayakan benua Afrika, Nigeria dan Mesir memenangi saingan kelayakan kumpulan masing-masing bulan lalu.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 1:01pm
d