arena

Southgate uji tiga pemain muda

Oleh Reuters

LONDON: Jurulatih England, Gareth Southgate memanggil tiga lagi pemain muda menyertai skuad kendaliannya untuk menghadapi juara dunia lima kali, Brazil pada aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi Rabu ini.

Ketika menentang Jerman semalam, Southgate memberi peluang kepada lima pemain baru untuk tampil di pentas antarabangsa buat kali pertama dan untuk aksi kali ini, pengendali itu menyenaraikan Angus Gunn (penjaga gol), Lewis Cook (pertahanan) dan Dominic Solanke (penyerang).

Ketiga-tiga pemain itu turut beraksi bersama skuad England Bawah 21 menentang skuad B-21 Ukraine.

Gunn, 21, yang kini dipinjamkan Manchester City kepada Norwich City dipanggil bagi menggantikan tempat Jack Butland yang patah jari.

Cook dan Solanke akan menyertai skuad selepas dipanggil bagi mengisi pemain senior yang tersisih susulan mengalami kecederaan, termasuk Dele Alli, Harry Kane dan kini pertahanan Manchester United, Phil Jones yang dilaporkan mengalami kecederaan paha ketika aksi menentang Jerman.

Ketika aksi menentang Jerman, Harry Maguire, Ruben Loftus-Cheek, Tammy Abraham, Joe Gomez dan Jack Cork masing-masing melakukan penampilan sulung bersama pasukan senior.

Jika dihitung pada jumlah kap pemain kesebelasan utama yang diturunkan, ia hanya mencecah 101 kap dan dinilai sebagai skuad paling ‘mentah’ sejak 1980.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 1:36pm
d