arena

100% sokong Ahmad Bashah

Oleh Izzali Ismail

AHLI Majlis Eksekutif, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersetuju sebulat suara bahawa jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dikekalkan.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, berkata Ahli Majlis Eksekutif KFA bersetuju dengan sebulat suara jawatan itu dikekalkan selepas mengadakan perbincangan secara mendalam dengan semua ahli majlis.

“Sumbangan dan komitmen Presiden KFA menerusi pelbagai bentuk terutama kewangan, tajaan pihak swasta, penyediaan kemudahan dan infrastruktur latihan pasukan antara kesan dan kepentingan untuk beliau mengekalkan jawatan itu.

“Selain itu, KFA juga ketika ini dalam proses persediaan pasukan bagi mengharungi musim 2018 dan sebarang peralihan kuasa pada masa ini dianggap tidak sesuai memandangkan komitmen berterusan diberikan sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini

Terdahulu isu peletakan jawatan itu timbul ekoran cadangan dan desakan beberapa pihak terutama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO Negeri Kedah supaya Ahmad Bashah selaku Presiden KFA meletak jawatan.

Sementara itu, wakil daripada 36 ahli kelab gabungan KFA, Mohd Fuad Abdullah menjelaskan mereka sebulat suara bersetuju dengan keputusan dibuat Ahli Majlis Eksekutif KFA.

“Kami menyokong penuh tindakan Ahli Majlis Eksekutif KFA sehingga kongres pemilihan jawatan baharu yang akan diadakan kelak dan menolak sebarang desakan mana-mana pihak supaya ahli politik melepaskan jawatan masing-masing.

“Presiden KFA banyak menyumbang tenaga daripada segi mendapatkan penajaan dari syarikat milik kerajaan dan korporat dan hasilnya dalam tempoh dua tahun kita dapat lihat kejayaan dicapai.

“Persediaan pasukan yang sedang giat dijalankan akan terjejas untuk musim akan datang jika ada peralihan jawatan secara tergesa-gesa,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 5:48pm
d