arena

Import 'Samba' paling berkualiti

Oleh Syafiq Aznan

PEMAIN dari Brazil memberi pulangan paling berbaloi apabila lapan pemain dari negara ‘Samba’ itu berjaya meledak 52 gol daripada keseluruhan 257 gol yang dijaringkan pemain import dalam kancah Liga Super, musim ini.

Menerusi statistik Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), penggempur import Pahang, Matheus Alves membuktikan dia paling cemerlang apabila meledak 18 gol buat skuad Tok Gajah sekali gus muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super di belakang penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammed Ghaddar.

Selain Alves, penyerang FELDA United, Thiago Augusto Fernandes turut cemerlang apabila menyumbat 14 gol untuk membantu skuad The Fighters menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super sementara pemain tengah Kedah, Sandro da Silva mencetak lapan gol.

Pemain tengah Melaka United (MU), Felipe de Almeida menjaringkan empat gol meskipun menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua, sementara import Perak, Gilmar da Silva serta Thiago Junio, masing-masing menjaringkan dua gol dan Demerson (Sarawak) serta Reinaldo Lobo (Pulau Pinang) masing-masing dengan satu gol.

Pemain dari Lubnan pula menjadi penjaring kedua terbanyak dengan 24 gol namun sebahagian besarnya disumbangkan menerusi Ghaddar yang berjaya mengesahkan status selaku penjaring terbanyak Liga Super musim dengan 23 gol sementara penyerang Kelantan, Abou Bakr dengan satu gol.

Pemain dari Liberia dan Argentina pula ketiga terbanyak apabila pemain masing-masing menyumbat 19 gol yang menyaksikan penyerang Selangor, Francis Forkey Doe dan penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh menjaringkan lapan gol, sementara Zah Rahan Krangar (FELDA United), tiga gol.

Penyerang import JDT, Gabriel Guerra muncul penjaring terbanyak dari Argentina apabila menjaringkan tujuh gol meskipun menyertai pasukan itu dari Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di pertengahan musim, sementara Lucas Cano (FELDA United) menjaringkan enam gol dan dua pemain import PKNS FC, Lucas Espindola serta Gonzalo Soto masing-masing dengan enam dan satu gol.

Pemain dari Sepanyol juga tidak kurang hebatnya apabila dua pemain import yang beraksi dalam Liga Super musim ini berjaya mencetak 16 gol dengan Gonzalo Cabrera menghasilkan 11 gol buat JDT, sementara penyerang The Red Giants, Rufino Segovia menjaringkan lima gol.

Secara keseluruhan, sebanyak 408 gol dapat disaksikan dalam saingan Liga Super sepanjang musim ini dengan pemain tempatan merekod 151 jaringan yang menyaksikan pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan kapten JDT, Safiq Rahim menjadi penjaring terbanyak tempatan dengan sembilan gol.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 6:27pm
d