arena

Strategi bertahan pacu Croatia ke Russia

Oleh AFP

PIRAEUS, Greece: Croatia layak ke Piala Dunia 2018 selepas terikat tanpa jaringan dengan Greece dalam aksi playoff kedua di Piraeus, dan mara dengan agregat 4-1, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Zlatko Dalic itu akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia buat kali kelima di Russia pada tahun depan, selepas hanya sekali gagal layak pada edisi 2010.

Corak bertahan yang berkesan terutama di babak kedua sudah cukup untuk membolehkan Croatia meninggalkan Stadium Karaisiakis dengan kenangan manis, selepas mereka menang 4-1 pada playoff pertama pada Khamis lalu.

Jurulatih Greece, Michael Skibbe menggugurkan sebahagian daripada pemainnya yang beraksi di playoff pertama di Zagreb, dan menyenaraikan pertahanan Roma, Kostas Manolas untuk mengawal ketat penyerang Croatia, Nikola Kalinic.

Sepanjang aksi 30 minit pertama, Greece menguasai perlawanan tetapi gagal melakukan ancaman berbahaya ke gawang lawan.

Mereka hanya mampu melakukan dua percubaan - satu daripadanya menerusi pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos dan satu lagi daripada penyerang AEK Athens, Anastasios Bakasetas.

Selain itu, skuad tuan rumah gagal dalam usaha mereka memburu gol awal untuk merapatkan jurang selepas ketinggalan 1-4 pada aksi pusingan pertama.

Greece memiliki peluang menjaringkan gol pada minit ke-41 di tamat babak pertama, apabila bola hantaran Kostas Mitroglou disambut pemain tengah, Zeca yang kemudian menanduk ke gawang Croatia.

Ketika Panagiotis Retsos hanya menunggu masa untuk menyambung percubaan itu menerusi tandukan, penjaga gol Croatia, Danijel Subasic sempat menepis sedikit bola berkenaan untuk menyelamatkan keadaan.

Pasukan pelawat juga memiliki peluang terbaik apabila percubaan pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic terkena tiang pada minit ke-43 dan sebelum itu, sepakan percuma perancang tengah Bercelona, Ivan Rakitic sedikit melepasi palang.

Greece terus menguasai perlawanan di babak kedua, namun percubaan mereka mudah dipatahkan pertahanan Croatia atau tersasar.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 1:33pm
d