arena

Kontroversi tak jejas Suryani menembak

Oleh Rodly Fadly

KONTROVERSI tercetus ekoran tindakannya bersama dua lagi penembak, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim mengheret Institut Sukan Negara (ISN) ke mahkamah ekoran digugurkan dari Program Podium, tidak melunturkan semangat Nur Suryani Mohd Taibi untuk terus terbabit dalam sukan menembak.

Sebaliknya isu itu meningkatkan lagi azamnya bagi membuktikan kemampuan dengan Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan serta Sukan Olimpik 2020 menjadi sasaran utama.

“Memang saya kecewa serta tidak berpuas hati digugurkan daripada Program Podium tanpa alasan kukuh namun ia tidak sama sekali mematahkan semangat saya untuk terus menembak.

“Sekarang saya sudah serahkan masalah ini kepada peguam, biarlah mereka menguruskan dengan pihak terbabit. Saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya.

“Saya tidak membiarkan isu ini menghantui atau membelenggu diri saya sebaliknya tetap fokus kepada latihan seperti biasa. Malah, sekarang saya tambah bersemangat untuk membuktikan masih mampu menyumbang sesuatu kepada sukan menembak negara.

“Selain fokus kepada pelbagai kejohanan, sasaran utama saya adalah mewakili negara di Sukan Komanwel pada April dan Sukan Asia , Ogos, tahun depan,” katanya.

Pencapaian terbaik Suryani pada Sukan Asia ialah memenangi pingat perak acara 50 meter rifle prone serta gangsa berpasukan acara sama di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Pada tahun sama, dia membawa pulang pingat gangsa acara 10m air rifle dari Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Suryani turut menanam tekad untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 dengan Olimpik 2012 di London, penembak ini menjadi tumpuan kerana mengambil bahagian dalam keadaan mengandung tujuh bulan anak pertamanya.

Bagaimanapun impiannya untuk beraksi buat kali kedua di Olimpik Rio De Janeiro pada 2016 terhalang atas nasihat doktor kerana Suryani sarat hamil anak kedua.

Suryani kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Menembak Selangor bulan depan.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 5:09pm
d