arena

PBSNT perlu alasan kukuh ke Liga Super

Oleh Syafiq Aznan

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan cadangan T-Team yang dipaksa ‘menarik diri’ dan perlu menyertai Liga Perdana musim depan selaras hasrat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menegaskan pihaknya hanya bersedia menerima cadangan itu seandainya PBSNT memberikan alasan munasabah dan membawa manfaat dalam tempoh jangka panjang terhadap pasukan terbabit mahupun kepada arena bola sepak tempatan.

Katanya, FMLLP perlu menerima maklumat rasmi daripada pasukan Terengganu dan juga T-Team mengenai cadangan itu terlebih dulu sebelum pihaknya mengambil keputusan kerana ia membabitkan kekosongan satu slot dalam Liga Super yang bakal ditinggalkan satu daripada pasukan itu bagi saingan musim depan.

“Terengganu dan T-Team memiliki perjanjian dengan FMLLP sebagai ahli jadi mereka perlu memberikan makluman rasmi mengenai cadangan terbabit sebelum kami mempertimbangkan tindakan yang selanjutnya.

“Jika mereka berhasrat untuk terus kekal dengan cadangan itu, mereka perlu mengemukakan alasan relevan dan jika kami berpendapat ia memberi kesan positif kepada perkembangan pasukan, berkemungkinan kita tidak ada masalah untuk meluluskan cadangan terbabit.

“Apapun, setiap pasukan memiliki tempoh sehingga 17 November ini untuk mengesahkan penyertaan dan saya tidak boleh mengulas lanjut sehingga mendapat makluman rasmi. Jika satu daripada pasukan itu menarik diri daripada Liga Super, kita tidak akan membiarkan satu slot itu kosong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya akan ada satu pasukan dari Terengganu bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin sebelum ini berkaitan penjenamaan semula pasukan dari Terengganu itu dengan hanya satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Super manakala satu lagi bakal beraksi di pentas Liga Perdana musim depan.

Ini bermakna T-Team yang sebelum ini berhempas-pulas mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Perdana sekali gus membuka peluang kepada pasukan Sarawak yang berada di kedudukan ke-11 dalam carta liga kembali kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 6:59pm
d