arena

Galas tugas besar

Oleh Jumiati Rosly

Sepang: Selepas kali ketiga tersenarai ke dalam Program Podium, ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg berharap dapat menyumbang lebih banyak kejayaan apabila program elit itu kini menyediakan lebih banyak kemudahan buat atlet terpilih.

“Berbanding dulu, kali ini mereka (Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan pakar psikologi, pasukan bio mekanik dan pakar fisioterapi yang akan ikut kami bukan saja ke kejohanan disertai tetapi juga ketika kem latihan.

“Usaha menambah baik ini sudah pasti membantu daripada segi latihan dan persiapan kami,” katanya selepas menerima Anugerah Ikon Sukan Yakult 2017 sebaik tiba dari Gold Coast di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, di sini, semalam.

Pandelela, 24, disenarai ke dalam Program Podium sejak dilancarkan pada 2016 lalu dan sekali lagi dipilih bagi program tahun depan bersama enam lagi penerjun negara.

Keseluruhan 146 atlet negara dipilih ke dalam Program Podium tahun depan berbanding 117 tahun ini.

Penerjun yang berasal dari Sarawak itu, berkata program itu banyak membantu atlet mencapai kejayaan dan menjadi tanggungjawab buatnya untuk menghasilkan keputusan yang baik.

Terdahulu, Pandelela menerima sijil penghargaan dan tajaan Yakult selama enam bulan selepas diiktiraf pemenang Anugerah Ikon Sukan Yakult 2017 daripada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 3:05am
d