arena

Tocang yakin Pahang menyerlah musim depan

Oleh Asrol Awang

sukanteam.nstp.com.my

TONGGAK utama Pahang musim ini, Mohd Faisal Rosli menaruh harapan tinggi skuad itu mampu menjulang kejuaraan dalam saingan Piala Malaysia musim depan.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Tocang berkata, biarpun lapan pemain tidak bersama mengharungi Liga Malaysia musim depan, ia diharap tidak menjejaskan persediaan skuad Tok Gajah.

Sebaliknya, katanya prestasi lebih baik ditagih untuk memperkasakan skuad Tok Gajah selepas misi mengucup sekurang-kurangnya satu piala gagal direalisasikan.

“Oleh itu, saya percaya pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan memperkemaskan lagi skuad Pahang untuk merealisasikan misi menjulang kejuaraan.

“Tiada yang mustahil untuk kembali meraih kejayaan seperti yang pernah dilakukan pada 2013 dan 2014. Musim ini kami hampir melakukan tetapi akur sekadar muncul selaku naib juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super manakala layak ke suku akhir Piala Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang tersenarai antara 19 pemain yang kekal dalam skuad Pahang bagi menghadapi musim 2018, Mohd Faisal berterima kasih kepada PBNP yang masih percaya dengan bakatnya.

Katanya, kepercayaan itu akan dibalas dengan prestasi lebih baik terutama mengukuhkan lagi jentera pertahanan.

“Bagi saya, keputusan pengurusan mengekalkan saya dalam skuad Tok Gajah begitu bermakna dan memberi semangat untuk mengejar kejayaan.

“Sudah pasti saya serta rakan lain akan memastikan Pahang beroleh kejayaan musim depan selepas kami terlepas piala musim ini,” kata pemain berumur 26 tahun itu.

Mohd Faisal, pemain kelahiran Kuala Rompin, menyertai Pahang sejak 2012 dan musim ini dia menjadi pilihan selaku tonggak utama skuad itu.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 3:52pm
d