arena

2018 tahun suram pemanah compound

Oleh Azlan Muhammad Zain

PEMANAH compound negara bakal mengharungi tahun yang suram pada 2018 selepas tuan rumah Sukan Asia, Indonesia tidak akan menganjurkan disiplin itu.

Sebaliknya Indonesia hanya mempertandingkan disiplin recurve yang menawarkan lima emas dengan compound disisihkan selepas dipertandingkan empat tahun lalu di Korea Selatan.

“Ia perkembangan yang mengecewakan kerana kami sememangnya mengharapkan sekurang-kurangnya dapat beraksi di Sukan Asia selepas memanah tidak dipertandingkan pada Sukan Komanwel Gold Coast.

“Ketiadaan acara compound dalam dua temasya itu turut menipiskan peluang kami untuk beraksi pada siri Piala Asia dan Piala Dunia. Sekarang kami hanya menanti dengan mengharapkan compound akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina,” jelas pemanah negara, Zulfadhli Ruslan yang meraih emas acara berpasukan Sukan SEA 2017.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) di Turkmenistan, September lalu Indonesia menyenaraikan 40 jenis sukan membabitkan 472 acara.

Recurve akan menawarkan lima pingat emas menerusi individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.

“Kemungkinan besar kami hanya akan beraksi dalam kejohanan tempatan sepanjang tahun depan namun saya harap kami turut diberi peluang menyertai Piala Asia atau Piala Dunia bagi memastikan dapat mengekalkan prestasi di pentas antarabangsa,” jelas pemenang emas individu siri kedua Piala Asia 2016 itu.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 5:12pm
d