arena

Nasib Kedah masih tergantung

Oleh Firdaus Hashim

KEPUTUSAN mengenai dua pasukan yang bakal mewakili Malaysia dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan akan diketahui dalam masa terdekat selepas wujud kekeliruan mengenai status pasukan Kedah yang difahamkan gagal melepasi syarat pelesenan AFC.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, walaupun skuad Helang Merah berjaya mendapatkan lesen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim depan, ia tidak bermakna mereka turut layak beraksi dalam kancah Piala AFC.

“Sebelum ini jawatankuasa rayuan sudah meluluskan lesen FAM untuk Kedah beraksi dalam Liga Super musim depan. Tapi lesen AFC tidak dinyatakan.

“Jika benar Kedah tiada lesen AFC, maknanya memang betullah mereka tidak boleh beraksi di Piala AFC.

“Tapi semua itu akan diumumkan dalam masa terdekat. Saya tidak boleh memberi komen lanjut kerana kami hanya menguruskan pasukan untuk mendapatkan lesen, tapi pihak yang akan meluluskannya adalah jawatankuasa kelab dan pelesenan FAM,” katanya, hari ini.

Menerusi pendedahan semalam, difahamkan kemungkinan tempat Kedah dalam saingan Piala AFC akan diserahkan kepada naib juara Liga Super musim ini – Pahang – susulan kegagalan juara Piala FA itu memenuhi syarat lesen AFC.

Berikutan tarikh akhir pengesahan kepada AFC bakal berakhir minggu ini, hampir pasti juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang mengisi slot berkenaan.

“Apa jua keputusan jawatankuasa FAM itu, kita kena hormat. Itu saja yang boleh saya katakan.

“Mungkin ada penyokong yang tidak akan berpuas hati dan sebagainya, tapi saya harap semua dapat terima.

“Diharapkan apa yang terjadi nanti boleh dijadikan iktibar untuk semua pasukan agar mengambil serius mengenai

kepentingan pelesenan kelab kerana ia asas untuk kemajuan bola sepak kita,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 7:16pm
d