arena

Idam kelompok 10 terbaik

Oleh Sukhairi Thani

SENARAI akhir kontinjen ke temasya Sukan Komanwel yang dijadual berlangsung di Gold Coast, Australia pada April ini dijangka diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan, 8 dan 9 Januari nanti.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, mesyuarat jawatankuasa pemilihan selama dua hari itu juga akan membincangkan mengenai tapisan pertama atlet yang bakal mewakili negara ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti.

“Satu mesyuarat jawatankuasa pemilihan akan diadakan Januari ini dan ia juga bakal membincangkan mengenai tapisan pertama untuk atlet ke Sukan Asia di Indonesia yang mana temasya ketiga terbesar akan disertai negara tahun depan,” kata Tunku Imran dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga MOM, sebentar tadi.

“Senarai (kontinjen ke Sukan Komanwel) akan dibincangkan pada 9 Januari nanti tetapi mungkin akan ada (tambahan) atlet yang akan layak pada saat-saat akhir dan perkara sebegini sering berlaku dalam temasya besar.

“Tarikh akhir untuk menyerahkan senarai akhir kontinjen (kepada penganjur) adalah sebulan sebelum temasya berlangsung dan ini bererti kami perlu menyerahkannya pada awal Mac.”

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar optimis bahawa kontinjen negara diketuai Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How (gambar) mampu meraih kejayaan lebih baik berbanding Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Pada edisi 2014, Malaysia meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa untuk berada di kedudukan ke-12 keseluruhan dan bagi tahun depan, Khairy yakin kontinjen negara mampu memperbaiki prestasi dan berada dalam kelompok 10 terbaik.

Sementara itu, Tunku Imran juga memberi bayangan betapa 2018 akan menjadi satu lagi tahun yang sibuk buat arena sukan tanah air.

Selain Sukan Komanwel dan Asia, Malaysia juga akan menyertai beberapa lagi temasya antaranya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada 9 hingga 25 Februari ini dan Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina pada 6–18 Oktober.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 11:08pm
d