arena

Tiada Rodriguez tiada masalah

Oleh Agensi

CHONGQING: Ketiadaan James Rodriguez nyata tidak memberi kesan kepada Colombia yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan China 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa, hari ini.

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama pasukannya yang tewas kepada Korea Selatan dalam satu lagi aksi persahabatan, Jumaat lalu.

Edwin Cardona yang didakwa melakukan gerakan berunsur perkauman ketika tewas 1-2 di tangan Korea Selatan diletakkan di bangku simpanan Colombia yang sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia, tahun depan.

Antara perubahan yang dilakukan Pekerman menyaksikan Felipe Pardo diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dan pemain sayap Olympiacos itu menjaringkan gol selepas perlawanan bermula lima minit.

Miguel Borja (66, 90+1) meledak dua gol buat Colombia dalam perlawanan selain Carlos Bacca (61) yang turut meletakkan nama sebagai penjaring.

Pemain tengah berusia 26 tahun, Rodriguez tidak dapat diturunkan selepas dia memilih untuk pulang ke Bayern Munich - dipinjamkan daripada Real Madrid - selepas tewas kepada Korea Selatan.

Dengan ketiadaannya, Colombia tampak tumpul di bahagian jentera serangan terutama pada babak pertama perlawanan.

Bagaimanapun, China yang di bawah kendalian pemenang Piala Dunia dari Itali, Marcello Lippi gagal menampilkan aksi terbaik mereka selepas turut tewas 0-2 di tangan Serbia, Jumaat lalu.

Sementara itu, Korea Selatan terikat 1-1 dengan Serbia dalam satu lagi aksi persahabatan.

Serbia membuka tirai jaringan menerusi Adem Ljajic pada minit ke-59 sebelum Koo Ja-Cheol menyamakan kedudukan buat Korea Selatan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-62.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 11:11pm
d