arena

Hudson yakin New Zealand singkir Peru

Oleh Reuters

LIMA: Pengendali New Zealand, Anthony Hudson menegaskan skuad kendaliannya yang “kerdil tapi kuat” tidak tertekan dan dipenuhi keyakinan menjelang aksi playoff kedua menentang Peru, pagi esok.

New Zealand tampil selaku pasukan bukan pilihan di Lima selepas perlawanan pertama di Wellington berakhir tanpa jaringan.

Hudson berkata, pasukannya sudah biasa bermain di tempat lawan dan bersedia untuk mengecewakan Peru yang cuba untuk layak ke pusingan akhir buat kali pertama sejak 1982.

“Kami lebih selesa bermain di luar laman sendiri dan kini kami lebih bersedia untuk menghadapinya,” kata Hudson.

“Tiada sebarang tekanan buat kami, kami memiliki pasukan yang penuh dengan keyakinan dan memiliki perancangan. Kami kecil tapi skuad yang kuat dan apa yang lebih utama kami percaya dengan diri sendiri.

“Kami amat teruja mengenai perlawanan esok. Saya menjangkakan Peru akan bermain dengan amat pantas dan cuba untuk mencari gol awal. Lebih lama kedudukan kekal 0-0 lebih banyak tekanan ke atas mereka,” katanya.

Hudson juga mengakui Peru adalah pasukan pilihan bagi menempah tiket ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan.

“Kami sedar jika Peru tewas ia akan menjadi malapetaka seluruh negara.”

New Zealand dijangka memperoleh semula khidmat penyerang, Chris Wood dalam kesebelasan utama selepas kecederaan mengehadkan penampilannya apabila hanya dimasukkan sebagai pemain gantian di Wellington.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 1:57pm
d