arena

Nauraj, Hup Wei dalam landasan tepat

Oleh Mohd Khairie Khalid

KEJAYAAN Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei menamatkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di kedudukan satu-dua memberikan lebih keyakinan kepada pembimbing mereka.

Ternyata kekuatan dan kematangan milik kedua-dua atlet itu menjadi kelebihan buat Alex Stewart yang ketika ini sedang mempersiapkan mereka untuk Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia tahun depan.

Bercakap mengenai Nauraj, jurulatih dari Australia itu menjelaskan atlet itu sedang menjalani latihan dengan baik selain mereka berusaha untuk meningkatkan kekuatannya kerana matlamat utama selepas ini adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Saya lihat kedua-dua temasya ini sukar tapi saya beranggapan Nauraj berada di tahap yang terbaik untuk memberikan saingan.

“Untuk itu kami menetapkan sasaran memperbaiki rekod kebangsaan, juga catatan peribadi terbaik Nauraj (2.30m) selain meningkatkan ketinggian lompatan iaitu dengan purata 2.26m dalam lima keputusan terbaik semusim pada 2017.

“Peluang untuk memenangi pingat pula sukar diperkatakan kerana ia tidak dapat diduga, namun jika mampu membaiki catatan peribadi terbaik apa saja boleh terjadi,” kata Stewart yang dihubungi di Sydney hari ini.

Mengulas lanjut, Stewart yang turut melatih Hup Wei menjelaskan atlet berpengalaman itu berjaya mencipta keputusan baik musim ini.

Stewart begitu teruja selepas melihat atlet itu mampu melompat pada ketinggian 2.24m dalam tiga kejohanan berasingan termasuk Kejohanan Olahraga Australia, Terbuka Singapura dan KL2017, Ogos lalu.

“Dia tidak melepasi ketinggian itu dalam tempoh tujuh tahun dan amat gembira melihatnya kembali. Seperti Nauraj, saya juga sedang melengkapkan Hup Wei untuk Sukan Komanwel dan Asia.

“Buat masa ini saya mengajarnya secara percuma namun saya berharap dia mendapat sokongan untuk membantunya dengan yuran latihan serta latihan di kem kerana dia menghasilkan keputusan baik,” kata Stewart.

Ogos lalu, Nauraj dan Hup Wei membuktikan mereka jaguh lompat tinggi terbaik rantau Asia Tenggara apabila masing-masing unggul dengan pingat emas dan perak selepas melepasi ketinggian 2.24m.

Kedua-duanya melepasi ketinggian 2.24m tetapi Nauraj dianugerahkan emas selepas melakukan kurang percubaan berbanding Hup Wei yang melakukan tiga percubaan untuk melepasi ketinggian itu.

Atlet Vietnam, Nguyen Thanh Nhan meraih gangsa selepas mencatat 2.18m.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 2:32pm
d