arena

Roslan sedia jadi jurulatih sepenuhnya

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Aksi bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 bakal menjadi penutup tirai kepada karier penjaga gol berpengalaman negara, Roslan Jamaluddin sebelum beralih sepenuhnya ke bidang kejurulatihan.

Selepas mengumumkan persaraan daripada mewakili Perak sebaik membantu negeri itu menjuarai Piala Razak hujung minggu lalu, Roslan menganggap sudah sampai masanya dia bersara terus sebagai pemain.

“Tahun depan, umur saya mencecah 40 tahun, rasanya cukuplah setakat itu. Sudah lebih 20 tahun saya aktif sejak peringkat belia hingga mewakili negara.

“Saya perlu menerima hakikat faktor usia menyebabkan kudrat saya sudah tidak mampu menyaingi kepantasan pemain muda sekalipun dalam latihan.

“Lagipun tiada apa lagi yang mahu saya kejar, boleh dikatakan semua impian sebagai pemain hoki sudah tercapai. Saya sudah menang semua pertandingan domestik sama ada di peringkat kelab mahupun negeri.

“Di peringkat antarabangsa pula, saya pernah beraksi pada Sukan Olimpik, Sukan Asia, Piala Dunia, Sukan Komanwel, Trofi Juara-Juara dan Sukan SEA.

“Jadi, sudah sampai masanya untuk saya berehat di samping memberi peluang kepada penjaga gol muda beraksi. Liga Hoki Malaysia tahun depan adalah yang terakhir,” kata Roslan.

Menurut Roslan, walaupun hanya dua pingat emas Sukan SEA (2001 dan 2013) serta perak Sukan Asia 2010 dan Sukan Komanwel 1998 dapat ditunjukkan hasil pembabitannya di peringkat antarabangsa namun aksi di peringkat tertinggi dunia tetap menjadi kebanggaan.

Antaranya yang akan menjadi kenangan sepanjang hidupnya adalah aksi di Piala Dunia 2002 dan 2014 serta Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Justeru, dengan pengalaman mewakili skuad senior negara sejak 1996 serta mencapai 249 caps, Roslan melihat dia sudah bersedia untuk beralih ke bidang kejurulatihan sepenuh masa.

Dia kini mendapat kepercayaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membantu Dhaarma Raj Abdullah melatih skuad hoki wanita negara.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 3:17pm
d