arena

Harap MSN bantu cungkil bakat muda muay Thai

Oleh Mohd Khairie Khalid

PERSATUAN Muay Thai Malaysia menaruh harapan tinggi agar Majlis Sukan Negara (MSN) dapat membantu badan itu meneruskan program pencarian bakat baharu serta latihan secara berterusan dalam sukan berkenaan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Bernard Radin berpendapat kedua-dua perkara itu amat penting buat negara agar atlet sedia ada serta bakat baharu tidak disia-siakan begitu saja, sekali gus mampu membantu meningkatkan kualiti mereka.

Bernard berkata, bakat baharu juga perlu dicungkil memandangkan pemenang pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) iaitu Mohd Ali Yaakub, Ain Kamaruddin dan Tengku Sharizal Tengku Abdul Rahman berhasrat untuk bersara.

“Kita perlukan bakat baharu sebagai pengganti. Kemungkinan selepas ini tiga bakat iaitu Mohd Ali (emas), Ain (emas) dan Tengku Sharizal (perak) tidak akan beraksi pada Sukan SEA Filipina 2019.

“Justeru kita berharap MSN dapat meneruskan program pembangunan dari akar umbi, latihan secara berterusan serta mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan.

“Selama ini kita bertindak menerusi persatuan kebangsaan, negeri serta kelab, namun lebih baik jika kerajaan boleh membantu dengan adanya tempat latihan, bantuan kewangan supaya latihan berskala besar dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya selepas tamatnya KL2017, pemenang pingat dan atlet meneruskan aktiviti seperti biasa sekali gus menzahirkan kebimbangan kerana tiada kesinambungan seperti sukan lain.

“Jika ada bantuan secara berterusan dengan meneruskan bakat baharu untuk dua tahun akan datang, Insya-Allah kita boleh hasilkan keputusan lebih baik. Apa kita harap adalah program berterusan, kebajikan atlet dijaga, sayang jika mereka dibiarkan,” katanya.

Bernard turut memaklumkan pasukan berkenaan hanya menjalani latihan sembilan bulan sebelum KL2017 dan selepas tamatnya temasya pada Ogos, masing-masing membawa haluan sendiri antaranya kembali ke kelab.

Namun difahamkan ada antaranya yang menjalani latihan sendiri di kampung selepas temasya melabuhkan tirai kerana tidak mempunyai kelab.

Untuk rekod, muay Thai menghadiahkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa. Mohd Ali dan Ain merangkul emas masing-masing dalam kategori 54 dan 57 kilogram.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 3:31pm
d