arena

Tunku Imran lunas janji

Oleh Farah Azharie

SELEPAS mendedahkan bahawa barisan lembaga pengarah baharu akan dipilih pada Jun depan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar (gambar) kini bersedia untuk melunaskan janji yang dibuat kepada dirinya sendiri.

Beliau tidak akan bertanding untuk merebut apa juga jawatan termasuklah presiden.

“Tidak akan ada perubahan kerana saya sentiasa menyatakan pada diri sendiri bahawa apabila saya berusia 70 tahun, saya tidak akan lagi bertanding untuk mana-mana jawatan kerana mahu memberi laluan kepada golongan muda,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

“Tahun hadapan akan menyaksikan saya sudah menjadi Presiden MOM selama 20 tahun, lebih panjang berbanding sepatutnya. Saya tahu kita perlu memberi peluang kepada mereka yang lebih muda dan aktif. Saya gembira dengan apa yang kita berjaya capai,” katanya.

“Tunku Imran ditemui pada majlis penyerahan cek Kejohanan Golf Antarabangsa Junior AmBank Group-SportExcel Edisi ke-12 yang berlangsung di Kelab Golf dan Country Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Meskipun sedia berundur, Tunku Imran menegaskan bahawa beliau mahu terus kekal sebagai Pengerusi SportExcel.

“Saya tidak bersara daripada SportExcel kerana saya mahu meluangkan lebih masa di sini. Satu hari nanti, saya mahu menyaksikan Malaysia dapat melahirkan jaguh dunia dalam sukan seperti tenis dan juga golf,” katanya.

Dalam masa sama, Tunku Imran juga enggan mengulas mengenai calon yang berpotensi untuk menggantikan tempatnya selaku pemimpin nombor satu MOM.

“Saya rasa lebih baik untuk saya tidak mengulas perkara itu. Ramai calon dalam lembaga pengarah yang boleh mengambil tugas itu dan mungkin individu luar turut mempunyai potensi.”

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 7:47pm
d