arena

Piya kekal semusim lagi

Oleh Attirmidzie Rahman

TANDA tanya mengenai kedudukan Mohd Badhri Radzi dalam skuad Kelantan akhirnya terjawab apabila pemain tengah itu mengesahkan akan terus kekal bersama The Red Warriors (TRW) musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pemain berusia 34 tahun dan lebih dikenali sebagai Piya itu bersetuju melanjutkan kontraknya bersama pasukan untuk tempoh semusim lagi.

Katanya, KAFA juga menawarkan kontrak kepada dua lagi pemain berpengalaman, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahyuddin.

“Kita baru menghubungi Piya dan dia mengesahkan akan terus bersama pasukan musim depan.

“Diharap berita ini dapat menjawab segala pertanyaan dan kemahuan penyokong yang mahu Piya terus beraksi bersama pasukan.

“Saya juga ingin menegaskan keputusan kita mengekalkan Piya kerana pengalaman luasnya yang diyakini mampu membantu pemain muda selain memberi keseimbangan dalam pasukan,” kata Bibi Ramjani ketika dihubungi, hari ini.

Bibi Ramjani bagaimanapun memberitahu Norfarhan dan Indra Putra, masih belum membuat keputusan berhubung tawaran yang dikemukakan KAFA.

“KAFA masih lagi berunding dengan mereka dan harap satu keputusan dapat dicapai dengan segera bagi memudahkan perancangan pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 8:15pm
d