arena

KFA jumpa TMJ

Oleh Syafiq Aznan

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) terpaksa menggunakan ‘talian hayat’ terakhir bagi memastikan impian mereka untuk beraksi di saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan tidak berkubur dengan memohon bantuan secara terus daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber yang boleh dipercayai, KFA akan cuba membuat rayuan menerusi pertemuan secara tertutup bersama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) yang akan dilangsungkan dalam masa terdekat.

“Pihak KFA bercadang untuk bertemu Tunku Ismail sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah ini dan berkemungkinan hanya ini saja jalan yang ada bagi memastikan Kedah dapat beraksi dalam saingan Piala AFC tahun hadapan.

“Berkemungkinan besar lokasi perjumpaan ialah di Kuala Lumpur namun tarikh dan masa terpaksa dirahsiakan,” kata sumber terbabit ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, KFA yang berdepan dua isu besar sepanjang minggu lalu menerima satu lagi tamparan hebat semalam apabila tempat Helang Merah pada Piala AFC musim depan akan diserahkan kepada Pahang.

Menurut sumber dalaman FAM itu, kegagalan KFA melepasi syarat Pelesenan Kelab FAM/AFC dalam tempoh ditetapkan menyaksikan slot automatik selaku juara Piala FA musim ini akan diisi Pahang selaku naib juara Liga Super.

Bagaimanapun, KFA masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai status skuad Helang Merah untuk menyertai kejohanan terbabit apabila Naib Presidennya, Datuk Badrol Hisham Hashim menyatakan badan induk itu sedia membuat rayuan semula berhubung kriteria ditetapkan untuk mendapatkan lesen Piala AFC sekali gus memastikan slot automatik selaku juara Piala FA kekal milik Kedah.

Pada masa sama, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan bahawa keputusan mengenai dua pasukan yang bakal mewakili Malaysia dalam saingan terbabit bagi musim depan akan diketahui dalam masa terdekat selepas wujud kekeliruan mengenai status Kedah yang difahamkan gagal melepasi syarat pelesenan AFC.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, walaupun skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu berjaya mendapatkan lesen FAM untuk bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim depan, ia tidak bermakna mereka turut layak beraksi dalam kancah Piala AFC.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 9:23pm
d