arena

Peluang Nicol tebus kekalahan

Oleh Devinder Singh

DATUK Nicol David (gambar) berpeluang menebus kekalahan mengejut di tangan Annie Au bulan lalu selepas kedua-dua pemain itu melangkah ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong, hari ini.

Juara Terbuka Hong Kong sebanyak 10 kali itu memulakan kempen dengan menewaskan pemain dari pusingan kelayakan, Danielle Letourneau 11-2, 11-6, 9-11, 11-3 pada pertemuan pertama kedua-dua pemain berkenaan.

Annie yang mengejutkan Nicol di Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadi kemenangan pertamanya sepanjang 24 pertemuan dengan juara dunia lapan kali itu menewaskan rakan senegara dari Hong Kong, Tong Tsz-Wing 13-11, 11-9, 11-3.

Nicol dan Annie akan bertemu di pusingan kedua esok dengan pemenang dijangka bertemu pilihan ketiga, Camille Serme dari Perancis di suku akhir.

Camille melangkah ke pusingan kedua dengan cukup bergaya apabila menewaskan pemain perseorangan kedua negara, Rachel Arnold 11-1, 11-0, 11-3 hanya dalam tempoh 19 minit.

Perseorangan utama lelaki negara, Nafiizwan Adnan yang turut berjaya melepasi pusingan kelayakan, tewas 7-11, 5-11, 2-11 kepada pilihan kelapan dari Mesir, Fares Dessouky.

Nicol yang menduduki ranking keenam dunia, pada satu ketika ketinggalan 1-6 di set ketiga sebelum bangkit menewaskan Danielle di set keempat.

“Saya pernah menyaksikannya bermain di Kejohanan Berpasukan Dunia dan sejak itu dia mempamerkan peningkatan.

“Ia adalah perlawanan yang sangat menarik. Dia bermain dengan baik di set ketiga.

“Pukulan saya tidak seperti yang diharapkan dan saya berjaya memperbaikinya di set keempat.

“Saya hilang tumpuan seketika pada perlawanan itu tetapi bangkit untuk memberi tekanan kepada lawan dan akhirnya dia melakukan beberapa kesilapan.

“Saya berjaya mempamer corak permainan yang dimahukan,” katanya.

Nicol mengaku selesa beraksi di Hong Kong yang menyaksikannya berjaya meraih kejuaraan dunia buat

kali pertama pada 2005.

“Adalah sangat menarik dapat kembali semula ke sini. Hong Kong sangat istimewa untuk saya kerana banyak kenangan manis.

“Saya memenangi kejuaraan dunia kali pertama di sini dan suasananya juga sangat hebat,” kata Nicol yang tidak pernah tewas sepanjang 58 perlawanan di Hong Kong sehinggalah pemain Mesir, Nouran Gohar memadamkan rekod itu tahun lalu.

“Ramai individu yang saya kenali di sini, jadi saya sentiasa mengalami perasaan yang positif apabila memasuki gelanggang,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 9:43pm
d