arena

Azzurri pecat Ventura

Oleh AFP

MILAN: Gian Piero Ventura dipecat sebagai jurulatih Itali sebentar tadi selepas juara empat kali itu gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Nasib jurulatih veteran itu diputuskan selepas satu mesyuarat tergempar di ibu pejabat Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) di Rome.

Pengendali berusia 69 tahun itu enggan meletakkan jawatan sekalipun tumpas 0-1 secara agregat pada playoff di tangan Sweden Isnin lalu menyaksikan Itali terlepas Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

“Hari ini, Gian Piero Ventura bukan lagi jurulatih pasukan kebangsaan,” menurut FIGC dalam satu kenyataan.

Namun presiden FIGC, Carlo Tavecchio akan kekal dengan jawatannya di sebalik tekanan memaksanya supaya turut meletakkan jawatan selepas kekalahan yang dianggap ‘bencana’ buat Itali dalam akhbar tempatan.

“Presiden persekutuan (Tavecchio) memaklumkan kepada mesyuarat tergempar... mengenai beliau tidak mungkin melepaskan jawatannya,” menurut kenyataan FIGC itu.

“(Tavecchio) bertanggungjawab (menghantar kepada majlis persekutuan) beberapa siri cadangan yang akan dibahaskan oleh ahli majlis,” jelas kenyataan itu.

Seorang jurulatih baru dijangka dinamakan ketika mesyuarat majlis persekutuan FIGC pada 28 November ini.

Terdahulu, Damiano Tommasi, ketua kesatuan pemain Itali, meninggalkan mesyuarat FIGC beberapa minit selepas Tavecchio enggan meletakkan jawatan.

Ventura mempertahankan kepimpinannya sebagai “satu daripada rekod terbaik dalam tempoh 40 tahun” sekalipun gagal mengemudi juara 1934, 1938, 1982 dan 2006 itu ke Piala Dunia buat kali ke-19.

“Saya hanya kalah dua perlawanan dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam satu rancangan televisyen Itali, Le Iene.

Hakikatnya, sejak bekas jurulatih Torino itu mengambil alih pada Julai 2016, Itali kalah tiga perlawanan - menentang Perancis di Bari (1-3), Sepanyol di Madrid (0-3) dan Sweden pada aksi pertama play-off Piala Dunia di Solna (0-1) - menang sembilan dan seri empat kali.

Bekas bos Chelsea dan Real Madrid, Carlo Ancelotti sudah diuar-uarkan oleh media Itali sebagai pilihan menggantikan Ventura, ketika pengendali berusia 58 tahun itu tidak bekerja sejak dipecat Bayern Munich hujung September lalu.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:06am
d