arena

Jurulatih Ivory Coast lepas jawatan

Oleh Reuters

JOHANNESBURG: Jurulatih dari Belgium, Marc Wilmots melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Ivory Coast selepas gagal mengemudi pasukan itu ke Piala Dunia tahun depan, umum persekutuan bola sepak negara itu, semalam.

Wilmots hanya mengendalikan pasukan itu selama enam bulan, kekalahan 0-2 Ivory Coast di laman sendiri kepada Maghribi Sabtu lalu menyebabkan mereka muncul naib juara kumpulan pada kempen kelayakan sekali gus tersingkir dalam laluan ke Russia.

“Kami bermesyuarat Isnin lalu dan bersetuju untuk melepaskannya ketika menyambut baik suasana baik yang wujud sepanjang enam bulan bekerjasama,” menurut Persekutuan Bolasepak Ivory Coast dalam satu kenyataan.

Negara itu kini mencari jurulatih keempat dalam tempoh kurang dua tahun selepas Herve Renard dari Perancis, yang mengemudi Maghribi ke Russia, dan Michel Dussuyer memegang jawatan itu sebelum Wilmots.

Wilmots menghabiskan empat tahun mengendalikan Belgium, mengemudi mereka ke Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:23am
d