arena

Mascherano rehat sebulan

Oleh AFP

MADRID: Pertahanan Barcelona, Javier Mascherano akan diketepikan selama sebulan kerana kecederaan paha dialaminya ketika aksi persahabatan Argentina menentang Nigeria, menurut kelab itu awal pagi tadi.

Mascherano bermain selama 90 minit ketika kekalahan mengejut negaranya 2-4 di tangan Nigeria di bandar raya Russia, Krasnodar, kelmarin.

Ketiadaan bekas pemain Liverpool berusia 33 tahun itu bermakna jurulatih Ernesto Valverde tidak banyak pilihan untuk merehatkan tonggak pertahanan tengahnya Gerard Pique dan pemain kebangsaan Perancis, Samuel Umtiti.

Valverde juga mungkin terpaksa menurunkan Thomas Vermaelen, yang hanya beraksi 90 minit buat Barcelona musim ini sekalipun dia baru beraksi dua perlawanan antarabangsa berturut-turut bersama Belgium.

Mascherano akan terlepas dua aksi peringkat kumpulan terakhir Barca dalam Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 22 November ini dan kemudian Sporting Lisbon pada 5 Disember.

Kelab itu berharap dia pulih tepat pada masanya bagi pertembungan El Clasico menentang Real Madrid di Bernabeu pada 23 Disember depan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 11:55am
d