arena

Sukar dapat 'bayang' Lewandowski

Oleh AFP

BERLIN: Peledak berbisa Poland, Robert Lewandowski percaya Bayern Munich perlu berusaha keras untuk mendapatkan penyerang gantian berkualiti yang sedia mengisi kekosongan ditinggalkannya ketika sedang berehat.

Bulan lalu, pemain berusia 29 tahun itu mahu juara Jerman itu mencari seseorang yang boleh memikul tanggungjawab berat di jentera serangan supaya pemain terbaik Bundesliga musim lalu itu mampu untuk ‘bernafas.’

Namun bekas pemain Borussia Dortmund itu yakin ia bukan kerja mudah.

“Saya tahu sukar untuk mendapatkan penyerang gantian untuk saya,” kata Lewandowski yang meledak 30 gol dalam kempen Bundesliga dua musim berturut-turut kepada Sport Bild.

“Jelas kami bercakap mengenai penyerang terbaik di kancah antarabangsa, dan kategori pemain yang mahu berada di padang dan menjadi penentu perlawanan.

“Satu daripada pilihan adalah pemain muda yang bercita-cita tinggi, dengan keinginan untuk belajar sebagai pengganti kepada pemain berpengalaman.”

Lewandowski yang muncul penjaring terbanyak Bundesliga sebanyak dua kali dalam tempoh empat musim berkata pada Oktober lalu dia gembira Bayern mendengar keluhannya dan berjanji untuk mencari pemain pada jendela perpindahan musim sejuk ini.

“Pastinya bagus jika saya dapat rehat yang lebih,” katanya. “Tiada seorang pun pemain boleh bermain selama 90 minit dalam tempoh tiga hari sepanjang musim.”

Lewandowski muncul satu-satunya pemain Bayern yang beraksi dalam semua perlawanan buat kelab gergasi Jerman itu musim ini.

Laporan media menyebut pendahulu Bundesliga itu menyenaraikan penyerang Perancis dan Arsenal, Olivier Giroud dan pemain muda Ajax, Kasper Dolberg sebagai calon berpotensi.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 2:09pm
d