arena

Feng teruja hadiah AS$1 juta

Oleh AFP

MIAMI: Selepas menang berturut-turut di Jepun dan negaranya China, Feng Shanshan berhasrat untuk memenangi bonus playoff LPGA sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta) pada kejohanan penamat musim, Kejuaraan Jelajah bermula awal pagi esok.

Pemain berusia 28 tahun dari Guangzhou itu antara lima pemain teratas daripada musim ini yang mempunyai 32 acara pada 15 negara yang mana menawarkan bonus dengan memenangi saingan di Kelab Golf Tiburon di Naples, Florida.

Secara keseluruhan, 12 pemain wanita berpeluang memenangi hadiah AS$1 juta itu.

Anugerah lain yang boleh dimenangi termasuk Pemain Terbaik Tahunan dan Trofi Vare bagi purata catatan sepusingan paling rendah musim ini.

Feng berkata, dia dimaklumkan berada di ranking teratas ketika transit di lapangan terbang di Dallas dalam perjalanan ke Florida.

“Saya memeriksanya dan saya seperti, ‘Oh Tuhan, saya kini pemain nombor satu dunia.’ Jadi saya amat teruja,” kata Feng.

“Saya berseorangan di lapangan terbang Dallas dan saya pergi ke Friday (restoran) dan memesan stik. Saya cuba untuk meraikan sedikit dengan stik. Saya mengambil gambar itu dan menghantar kepada ayah dan emak saya.

“Saya pasti mereka mempunyai makanan lebih baik di rumah, seperti selebriti. Selepas minggu ini, saya akan terbang balik ke China. Saya tak sabar berjumpa mereka.”

Jika Feng memenangi kejohanan itu dan AS$1 juta, dia bercadang untuk makan sesuatu yang sedap bagi meraikannya serta menambah koleksi beg tangannya.

“Biasanya apabila saya meraikan hanyalah dua perkara. Satu daripadanya makanan. Makanan yang amat sedap,” kata Feng.

“Perkara kedua saya akan belikan hadiah untuk diri sendiri. Apa yang saya sering beli adalah beg tangan.

“Jika saya menang minggu ini saya akan bawa pulang berjuta-juta ringgit, muncul Pemain Terbaik dan mungkin saya akan belikan beg tangan yang cantik.”

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 2:37pm
d