arena

Lacazette masih bergelut pikat Wenger

Oleh Reuters

LONDON: Pemain termahal Arsenal, Alexandre Lacazette tidak pasti berada dalam kesebelasan utama musim ini dan terdesak membuktikan keupayaannya bagi aksi pertembungan jiran setempat menentang Tottenham Hotspur, Sabtu ini.

Arsenal hadir pada perlawanan itu di tangga keenam, empat mata di belakang Tottenham kendalian Mauricio Pochettino di tangga ketiga dan memerlukan kemenangan untuk kekal merapati pendahulu Manchester City.

Kekalahan kepada musuh utara London itu akan menjejaskan impian Arsenal memburu kejuaraan namun tiada jaminan pengurus Arsene Wenger akan mempercayai pemain termahalnya itu untuk mengetuai jentera serangan.

Lacazette sudah meledak enam gol dalam musim sulungnya di England, namun masih belum beraksi 90 minit bersama kelab itu.

Pemain berusia 26 tahun itu masuk sebagai pemain gantian ketika kalah kepada Manchester City sebelum rehat tugasan antarabangsa, menjaringkan gol yang seketika membantu pasukannya kembali mencabar.

Dia turut tidak bermula dalam kesebelasan utama ketika tumpas 0-4 di Liverpool awal musim ini.

Bagaimanapun apabila dia bermula, penyerang Perancis itu, yang menyumbat dua gol buat negaranya ketika aksi persahabatan menentang Jerman kelmarin, membuktikan dia bukan sekadar penjaring gol, terutama ketika seri 0-0 dengan juara bertahan Chelsea September lalu.

Lacazette memulakan perlawanan itu bersama Alex Iwobi dan Danny Welbeck di serangan, sering menekan pertahanan Chelsea dan menyukarkan mereka membuat hantaran ke tengah.

Bekas bintang Arsenal, Ian Wright percaya ini masanya buat Lacazette untuk menyerlah.

“Jika saya memilikinya dalam skuad saya, dia akan bermula dalam setiap perlawanan. Dia menyudahkan peluang sekalipun peluang itu agak sukar, dia menyudahkan dengan baik menggunakan kedua-dua kakinya dan saya fikir sekarang dia bersedia untuk meledak,” katanya.

“Lebih banyak masa dia bermain, dia akan lebih konsisten sepanjang perlawanan, lebih banyak gol akan disumbangkannya.”

Tottenham boleh menurunkan semula pendahulu penjaring gol terbanyak bersama Liga Perdana Inggeris, Harry Kane, yang dijangka pulih daripada kecederaan hamstring yang memaksanya menarik diri daripada skuad England.

Penyerang itu meledak enam gol dalam lima aksi Liga Perdana menentang Arsenal dan berharap untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan yang sudah melepaskan 16 gol dalam liga musim ini.

Manchester City dijangka terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana apabila mereka berkunjung ke Leicester City, Sabtu ini.

Pendahulu liga itu gah lapan mata di depan selepas permulaan tanpa kalah dalam musim kedua kendalian Pep Guardiola di Etihad.

Leicester akan cuba menyamai persembahan mereka musim lalu apabila hatrik Jamie Vardy membantu mereka menang 4-2.

Chelsea bertandang ke West Bromwich Albion yang menghuni dua anak tangga di atas zon penyingkiran dan terdesak untuk meraih kemenangan pertama liga sejak Ogos lalu.

Manchester United melayan kunjungan pasukan pertengahan Newcastle, namun dijangka turun tanpa bintang tengah Paul Pogba. Pemain Perancis itu kembali berlatih secara ringan namun perlawanan malam esok terlalu awal buat pemain berusia 24 tahun itu.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:18pm
d