arena

KAFA nafi intai Santos

Oleh Attirmidzie Rahman

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) menafikan bakal mengambil penyerang kelahiran Brazil, Marclei Santos yang kini beraksi bersama Mitra dalam saingan Liga Bolasepak Utama Indonesia.

Mengesahkannya, Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman menjelaskan tiada sebarang rundingan dibuat dengan pemain berusia 28 tahun itu.

“Desas-desus itu tidak benar malah pemain itu tiada pun dalam perancangan. KAFA sedang mengintai beberapa calon pemain import bagi memperkuatkan pasukan ini dalam saingan Liga Super musim depan.

“Kita sedang melihat beberapa calon pemain import untuk dibawa masuk. Buat masa ini, ia masih dalam proses penilaian prestasi dahulu sebelum membuat rundingan lanjut.

“Kita tidak mahu serkap jarang dalam pemilihan kerana perkara ini penting termasuk melihat kepada kehendak semasa pasukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hussin berkata pasukan juga sudah diperkuatkan dengan tiga pemain import iaitu Seydi Al-Imam, Morgaro Gomis dan Abou Bakr Al-Mel bagi kuota pemain import Asia.

Katanya, KAFA memerlukan dua lagi tenaga import bagi mencukupkan kuota termasuk bagi posisi pertahanan.

“Kita sudah ada Imam dan Bako yang masih berbaki kontrak bersama pasukan semusim lagi manakala Gomis kita baru sambung kontraknya. Cuma sekarang ini kita mencari dua orang lagi pemain yang berkemungkinan untuk posisi pertahanan,” katanya.

Terdahulu, Santos yang juga penjaring kedua terbanyak Liga Indonesia menjadi perbualan dalam kalangan peminat bolasepak Kelantan apabila dikaitkan akan menjadi pemain import The Red Warriors (TRW) musim depan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 5:34pm
d