arena

'Ayuh City!!'

Oleh AFP

LONDON: Penyerang Manchester City, Sergio Aguero mengisytiharkan dirinya cergas bagi kunjungan ke Leicester City malam esok selepas mengalami “tempoh pening” ketika tugasan antarabangsa bersama Argentina.

Aguero digantikan pada waktu rehat ketika Argentina kalah 2-4 aksi persahabatan di tangan Nigeria di bandar raya Russia, Krasnodar awal pagi kelmarin.

City menafikan laporan awal menyatakan dia pengsan, sebaliknya menegaskan dia berasa pening dan selepas menjalani pemeriksaan di Manchester, pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan dia bersedia untuk beraksi.

“Semua ujian yang mereka jalankan terhadap saya - hanya sebagai langkah berjaga-jaga - berjalan lancar, jadi saya boleh turun bagi perlawanan Sabtu ini. Ayuh, City!!” tulis Aguero dalam akaun Twitter miliknya.

Aguero menyumbat 10 gol dalam 12 penampilan buat pendahulu Liga Perdana Inggeris, City musim ini dan baru-baru ini muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu selepas mengatasi rekod Eric Brook dengan 177 gol.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:42am
d